Friday, February 26, 2010

Kemerosotan Kualiti Alam: Kesan pada Kesihatan Awam

Hakikatnya alam sekitar amat penting kepada manusia. Alam sekitar bukan sekadar membekalkan manusia dengan keperluan asasi kehidupan seperti udara, air dan makanan tetapi lebih penting evolusi dan keterusan sistem hidup manusia itu sendiri bergantung kepada alam sekitar. Malah, memiliki sumber alam yang banyak di sesebuah negara dapat menggambarkan taraf pembangunan negara tersebut. Hal ini kerana pembangunan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada ketersediaadanya sumber alam sekitar. Banyak tamadun manusia pupus akibat kegagalan mendapatkan bekalan sumber alam sekitar secara berterusan dan dalam situasi tertentu perubahan ke atas alam sekitar boleh menjejaskan keupayaan manusia untuk membangunkan alam sekitar.

Pertambahan penduduk dunia yang semakin bertambah menyebabkan kita memerlukan bekalan sumber alam yang banyak bagi menampung jumlah tersebut. Namun, sejak 15 tahun kebelakangan ini, telah wujud beberapa masalah berkaitan dengan alam sekitar di kebanyakkan tempat di dunia. Keadaan ini menyebabkan wujudnya dampak terhadap alam sekitar dan kehidupan manusia khususnya kerana sebarang perubahan kepada alam sekitar akan menyebabkan ancaman kepada manusia dan secara langsung mempengaruhi kelangsungan hidup manusia itu sendiri.


Guna tanah untuk menampung pertambahan manusia yang semakin meningkat

Kemerosotan kualiti sumber alam boleh dijelaskan seperti kekurangan atau kehilangan kualiti dan kuantiti sumber alam yang boleh digunapakai di sesebuah kawasan atau negara di dunia ini. Kemerosotan sumber alam disebabkan oleh pelbagai keadaan seperti kemerosotan kualiti dan kuantiti sumber air, penyahhutanan, pembalakkan, pencemaran udara dan banyak lagi. Manakala, kemerosotan kualiti alam sekitar akan memberi kesan terhadap manusia khususnya kesihatan manusia. Kemerosotan kualiti sumber alam mengakibatkan ketidakamanan dalam sesebuah kawasan atau negara kerana sumber alam bukan sahaja penting untuk keguanaan domestik sahaja tetapi sebagai sumber makanan dan minuman utama untuk manusia, haiwan dan sumber alam lain untuk meneruskan kehidupan. Tanpa sumber alam semua hidupan di atas dunia ini akan mati.

Kemerosotan kualiti air oleh bahan-bahan kimia seperti nitrat, sodium, DDT dan sebagainya boleh mengundang masalah terhadap kesihatan manusia. Misalnya, sodium boleh memberi implikasi kepada masalah jantung, nitrat boleh menyebabkan masalah darah, manakala merkuri dan plumbum boleh mengakibatkan masalah saraf. DDT (racun serangga) adalah bertoksik kepada manusia dan boleh mengubah kromosom anak dalam kandungan. Polychlorinated biphenyls (PCB) pula boleh merosakkan hati dan sistem saraf, gangguan kulit dan keadaan tidak normal yang bahaya. Disenteri, salmonela, cryptosporidium dan hepatitis adalah antara penyakit yang berjangkit menerusi keracunan air minuman dan air untuk mandi.

Penggunaan baja dalam aktiviti pertanian

Pembuangan sisa toksid ke dalam sungai atau sumber air yang lain akan menyebabkan sumber air tersebut beracun kerana sesetengah sisa toksid akan bertindak dengan air lalu mengeluarkan gas ammonia yang memberi kesan buruk kepada manusia khususnya apabila terdedah terlalu lama dengan manusia, ia akan menyebabkan orang tersebut mengalami pedih-pedih mata, pening, muntah-muntah, sakit tekak, masalah pernafasan dan ia juga boleh menyebabkan kematian jika terdedah terlalu lama dengan kuantiti yang terlalu banyak. Manakala, pengambilan sumber makanan dan air minuman yang terdedah kepada sisa logam berat juga boleh mengancam kesihatan manusia.

Selain itu, kemerosotan sumber alam seperti air turut menyebabkan sumber tersebut menjadi mahal. Jadi bagi golongan penduduk yang berpendapatan rendah, mereka mungkin tidak dapat membiayai kos pertambahan untuk mendapatkan sumber air bersih tersebut. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan air seperti menggunakan air hujan yang belum tentu bersih atau tidak untuk digunakan (akibat pencemaran udara) atau air sungai yang sememangnya belum dirawat. Keadaan ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit terhadap segelintir penduduk tersebut seperti taun, cerek-berek, deman, dan yang paling teruk mungkin boleh mendatangkan keracunan sehingga boleh membawa maut.

Udara yang mengandungi bahan-bahan pencemar akan mengganggu kesihatan manusia terutamanya sistem pernafasan manusia. Gas-gas seperti karbon monoksida akan meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah, melambatkan tindak balas manusia dan menyebabkan mengantuk, penyakit lelah dan mengurangkan fungsi paru-paru. Bahan pencemar yang terkandung dalam udara dalam kuantiti yang banyak seperti nitrogen oksida boleh menyebabkan edema (penghimpunan tidak normal bendalir dalam tisu badan) dan pendarahan pulmonary, gas ozon pula boleh menimbulkan kerengsaan menyebabkan inflamasi paru-paru dan keupayaan bergerak. Habuk, asap yang beracun, kabus, wap atau bahan-bahan lain juga menghalang penglihatan mata dan menjejaskan mata manusia. Penipisan lapisan ozon akan mengundang lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi dan boleh mengakibatkan kanser kulit dan kerosakan genetik bayi apabila terdedah kepada cahaya matahari yang lama.

Aktiviti pembalakan memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia khususnya. Hal ini berlaku kerana apabila pokok-pokok ditebang dan hutan dimusnahkan, banyak sumber makanan seperti buah-buahan hutan, binatang liar dan sebagainya akan turut dimusnahkan. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kehilangan sumber makanan khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman yang selama ini lebih bergantung kepada sumber makanan daripada hutan.

Hidupan di bumi ini sama ada di atas muka bumi, dasar laut ataupun dalam tanah memerlukan alam sekitar untuk terus hidup. Alam sekitar bukan sahaja membekalkan sumber untuk pembangunan dan perkembangan sistem hidup manusia, tetapi sebagai unsur penting dan perlu dipelihara sekiranya manusia ingin kekal hidup di bumi ini. Keselamatan awam khususnya keselamatan manusia bergantung kepada kesejahteraan alam sekitar dan perhubungan ini akan terjejas sekiranya kualiti dan kuantiti alam sekitar terjejas. Dalam hal ini banyak konflik telah, sedang dan akan tercetus akibat persaingan ke atas sumber-sumber alam sekitar, dan yang menjadi mangsanya adalah hidupan itu sendiri amnya manusia.

Kualiti alam sekitar perlu dipertahankan dan satu pendekatan pengurusan yang boleh mengimbangkan kehendak pembangunan dan kepentingan memelihara alam sekitar amat diperlukan. Pepatah Melayu “sediakan payung sebelum hujan” adalah tepat sekali untuk mengambarkankan apa yang perlu di lakukan oleh masyarakat global bagi menangani ancaman daripada perubahan yang sedang berlaku kepada alam sekitar. Kesedaran manusia untuk melindungai alam sekitar sangat penting. Lebih-lebih lagi, kesedaran ini akan menimbulkan dalam diri manusia sifat cintakan alam dan kefahaman tentang ‘kerapuhan’ sistem semulajadi jika diganggu oleh manusia dengan sesuka hati. Manusia perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk melindungi dan memelihara keadaan semulajadi alam sekitar.


Alam sekitar khazanah yang perlu dipelihara

Thursday, February 25, 2010

Air Bawah Tanah: Potensi dan Cabarannya

Air bawah tanah merupakan air yang terdapat dalam tanah dalam ke dalam 1 meter dan seterusnya. Namun, ada juga sesetengah pakar yang berpendapat bahawa air bawah tanah wujud dalam ke dalaman lebih kurang lebih daripada 20 atau 30 kaki dari permukaan bumi dan seterusnya. Semakin dalam kawasan tersebut, semakin banyak air tanah yang terdapat dalam tanah tersebut. Air bawah tanah umumnya terdapat dalam liang-liang pori atau celahan tanah atau batuan (yang retak atau ada sesetengah batuan yang boleh menyerap air dengan banyak) yang tersimpan dan mengalir dalam medium kawasan tersebut (sama ada tanah, pasir atau batuan). Air bawah tanah yang mengalir dikenali sebagai akuifer (aquifer) dan ia wujud dalam pelbagai saiz.

Air bawah tanah adalah sumber yang masih belum diterokai sepenuhnya khususnya di Malaysia kerana negara ini masih memiliki banyak lagi sumber air permukaan untuk menampung keperluan masyarakatnya. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini banyak pihak telah menyedari tentang kepentingan air bawah tanah ini sebagai salah satu daripada sumber alam yang mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung keperluan manusia yang semakin bertambah ini. Misalnya, ada di sesetengah kawasan seperti di Kelantan, air bawah tanah banyak digunakan untuk kegiatan domestik dan pertanian secara kecil-kecilan. Beberapa negara-negara lain seperti Bangladesh, Korea, China, Dubai dan Denmark turut menggunakan air bawah tanah bagi memenuhi keperluan masyarakat mereka.

Pada masa yang sama, sumber air ini juga turut mengalami nasib yang sama seperti sumber-sumber air permukaan yang lain sama ada air sungai, air laut, atau tasik yang semakin tercemar akibat pembangunan yang tidak terancang. Aktiviti perbandaran, perindustrian, pertanian yang semakin pesat atau aktiviti guna tanah yang melampau adalah antara faktor yang dikenalpasti mampu mencemarkan sumber air bawah tanah. Misalnya, aktiviti pembajaan dalam pertanian boleh menyebabkan sumber air bawah tanah mengandungi kandungan sulfat yang tinggi, kandungan klorida pula disumbangkan oleh sisa buangan perindustrian atau salur buangan (kumbahan) dan pelbagai lagi aktiviti yang mampu mencemarkan air bawah tanah ini sama ada melalui kaedah penyusutan dan larut resap serta pemindahan terus.

Oleh itu, kita sebagai masyarakat yang prihatin terhadap penjagaan alam sekitar perlulah sedar tentang situasi yang berlaku ketika ini. Potensi air bawah tanah sebagai sumber air bersih amatlah tinggi dan perlu dipelihara agar tidak tercemar seperti beberapa sumber air permukaan yang lain. Malah, pembangunan dan penggunaannya perlulah dikawal agar sumber tersebut tidak dihabiskan dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keperluan untuk generasi akan datang. Kesimpulannya, sama-samalah kita memelihara sumber alam yang amat berharga ini agar boleh dimanfaatkan untuk kegunaan generasi kita pada masa hadapan dan generasi seterusnya.

Saturday, February 20, 2010

Tanih: Konsep dan Faktor Pembentukkannya

Hakikatnya, tanih dianggap penting oleh manusia sejak permulaan tamadun lagi. Pembinaan petempatan, kegiatan ekonomi, penternakan dan sebagainya adalah antara interaksi manusia dengan tanih. Tanih juga boleh mengambarkan taraf hidup manusia di sesuatu kawasan berdasarkan beberapa aspek seperti kualiti tanih yang dimiliki, jenis dan kualiti tanaman. Selain itu, tanih adalah sumber semulajadi yang penting bagi pertumbuhan pokok-pokok dan tanaman.

Kini, tanih masih lagi dianggap suatu sumber semulajadi yang penting dan kuantitinya yang terhad berbanding pertambahan penduduk dunia yang semakin meningkat menyebabkan tanih menjadi tidak subur dan mudah terdedah kepada agen-agen pengangkutan (seperti air dan angin). Hal ini kerana lapisan tanih adalah mudah berkeadaan tidak stabil apabila lapisan tanah diterokai atau lapisan tanih itu sendiri diterokai.

Tanih merupakan elemen bahan pepejal yang paling penting di bumi, sama ada di daratan ataupun di permukaan bumi. Tanih terbentuk melalui beberapa proses sama ada melalui proses-proses fizikal, kimia ataupun biologi dan proses ini akan bertindakbalas dengan bahan induk (batuan) membentuk pelbagai jenis tanih yang berbeza dalam banyak aspek daripada bahan induknya (kebanyakan tanih terhasil daripada bahan mineral sekunder yang baru yang tidak diperolehi daripada bahan induk tetapi diperolehi daripada proses-proses luluhawa dan juga pedogenesis).

Umumnya, tanih merupakan permukaan bumi yang peroi (tidak merangkumi batuan pejal di bawahnya) dan terdapat empat komponen utama didalamnya,iaitu mineral, bahan organik, air dan liang udara yang boleh berubah (contohnya, apabila hujan turun, air hujan akan meresap masuk ke dalam tanah melalui liang-liang udara yang terdapat di dalam tanih dan menyebabkan kebanyakkan liang udara dipenuhi air). Manakala bahan organik yang terdapat didalam tanih ini pula terbahagi kepada dua, iaitu organisma yang masih hidup dan yang telah mati. Mengikut Scott Brennan dan Jay Withgott (2005), tanih mempunyai lebih daripada 5% bahan organik. 1 gram tanih boleh mengandungi 100 juta bekteria, 500 000 kulat, 100 000 rumpair, 50 000 protozoa. Tanih juga turut mengandungi cacing tanah, serangga, hama, lentibang atau mentibang, kuman serta lubang korekan haiwan mamalia, amfibia dan reptilia.

Terdapat pelbagai definisi mengenai tanih. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), tanih adalah lapisan tanah yang subur dibawah lapisan tanah di atas sekali. Keadaan ini menjelaskan tanah adalah lapisan pertama dan tanih adalah lapisan kedua, iaitu selepas tanah. Ahli sains Rusia, iaitu V.V.Dukuchaev menjelaskan bahawa tanih sebagai lapisan permukaan yang berhampiran dengan bahan induk dan telah mengalami banyak perubahan sama ada di bawah pengaruh beberapa faktor semulajadi seperti air, udara, serta pelbagai spesies orgamisma-orgamisma hidup atau mati. Perubahan-perubahan ini menggambarkan komposisi struktur dan warna yang dihasilkan oleh proses-proses luluhawa.

Mengikut Jamaluddin Md Jahi dan Ismail Ahmad (1988), tanih ialah bahan mineral di permukaan bumi yang telah mengalami perubahan dan dipengaruhi oleh faktor-faktor genetik dan faktor-faktor persekitaran seperti bahan induk, iklim (termasuk kesan lembapan dan suhu ), makrohidupan dan mikrohidupan serta topografi, kesemuanya bertindak beberapa lama dan menghasilkan apa yang disebut tanih, iaitu satu hasil yang berbeza dari bahan asalnya dari segi sifat dan ciri-ciri fizikal, kimia dan biologi. Definisi lain adalah tanih dianggap sebagai jasad yang berotonomi (tidak bergantung dengan elemen lain) yang terdiri dari bahan-bahan mineral, bahan organik serta komponen-komponen nutrien yang terbentuk daripada pelbagai reaksi terhadap batuan asal dengan faktor-faktor persekitaran seperti iklim, topografi, kehidupan tumbuh-tumbuhan dan hidupan (Mohemad Suhaily yusri Che Ngah, 2002).


Faktor pembentukan tanih diketogorikan kepada lima, iaitu bahan induk, iklim, organisma, topografi (relief) dan masa. Pendapat ini pertama kali dikemukakan oleh Dokuchaev (iaitu seorang ahli pengkaji pedologi Rusia) dan sejak itu pendapat yang dikemukakan itu telah digunapakai dan diubahsuaikan oleh beberapa sarjana. Faktor yang dikemukakan oleh Dukucheav di bahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu faktor aktif dan faktor pasif. Faktor aktif terdiri daripada iklim, kerpasan, suhu dan biosfera. Manakala, faktor pasif pula merujuk kepada bahan induk, relief (topografi) dan masa.

Menurut Jamaluddin Md Jahi dan Ismail Ahmad (1988) iklim merupakan antara faktor penting dalam pembentukan tanih dan iklim yang mempengaruhi pembentukan tanih adalah iklim tanih bukan iklim `udara’. Iklim secara secara keseluruhannya mempengaruhi iklim tanih. Tindakbalas tanih dan atmosfera terhadap tumbuh-tumbuhan akan menghasilkan iklim miko. Atmosfera bertindak terhadap permukaan bumi untuk menghasilkan iklim permukaan bumi secara tidak langsung iklim mempengaruhi pembentukan tanih dengan menentukan jenis tumbuhan dan bilangan tumbuhan yang tumbuh, imbangan air, dan kadar pereputan bahan organik.

Unsur utama yang mendatangkan kesan terhadap ciri-ciri juzuk tanih adalah kelembapan dan sumber yang utama bagi air tanih ialah kerpasan (namun tidak semua air turun dalam bentuk kepasan bergabung membentuk tanih kerana sesetengah air akan hilang dalam beberapa peringkat proses). Air dalam tanih penting untuk proses kimia dan biologi kerana banyak bahan kimia lebih aktif dalam suhu yang tinggi dan hujan yang lebat. Misalnya, hubungan di antara suhu dengan bahan kimia dapat digambarkan melalui kaedah penguraian atau pereputan bahan organik, iaitu apabila suhu meningkat maka kadar pengurian atau pereputan juga turut meningkat. Contohnya, kawasan tropika adalah kawasan yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan dan ini menyebabkan kadar pereputan bahan organik oleh bekteria dan mikroorganisma lain berlaku secara maksimum manakala di kawasan yang bersuhu sejuk, kadar pereputan adalah kurang dan ini menyebabkan berlakunya pembentukan bahan organik (tanih) yang perlahan. Kesan iklim ini dapat dilihat pada pola-pola tanih di seluruh dunia. Sebagai contohnya di kawasan tropika lembap, tanih feralitik adalah tanih yang unggul di tempat yang bersaliran baik, manakala tanih pedzol pula penting di kawasan hutan tirus iaitu di kawasan iklim subartik lembap. Bagi kawasan gersang atau separa gersang tanih yang terhasil ialah tanih gurun kelabu atau merah dan di kawasan subtropika lembap pula tanih menghasilkan tanih feruginus yaang terlarutlesap atau tanih podzolik merah-kuning (Jamaluddin Md Jahi dan Ismail Ahmad, 1988).

Faktor orgamisma atau lebih tepat lagi dengan faktor biotik adalah interaksi tumbuh-tumbuhan atau haiwan (organisma) dengan faktor-faktor lain seperti bahan induk untuk membentuk tanih. Tumbuh-tumbuhan berperanan secara langsung dalam pembentukan tanih terutamanya dari segi penambahan bahan-bahan organik. Sumber bagi bahan organik tanih adalah datangnya daripada pokok di permukaan seperti daripada daun-daun yang gugur, bahagian akar tumbuhan yang telah mati, tunas, dahan-dahan kecil, buah-buahan dan biji-biji yang gugur. Kesemua bahan-bahan tersebut akan diurai oleh bekteria dan mikroorganisma lain untuk membentuk tanih. Contohnya, haiwan yang telah matiakan diurai oleh bekteria untuk membentuk tanih. Proses yang melibatkan penguraian bahan organik ini dan membentuk tanih dipanggil penghumusan (iaitu satu proses yang melibatkan aktiviti-aktiviti komponen fauna (makroorganisma) di dalam tanih ).

Pada peringkat awal pnguraian, bakteria dan kulat akan mengurai tisu-tisu di atas tanih dan permukaan tanih. Selepas itu, makroorganisma seperti cacing dan anai-anai akan mengurai bahan-bahan organik ke dalam tanih melalui aktiviti mengorek dan mencampurkan horizon-horizon tanih dengan bahan-bahan lain. Tumbuhan-tumbuhan yang telah diuraikan ini membekalkan karbon dioksida, nitrogen, sulfur dan bahan-bahan organik yang penting kepada proses-proses pembentukan tanih seperti asid organik penting dalam proses larutresap.

Akar tumbuhan (yang masih hidup) juga turut memainkan peranan penting dalam poses pembentukan tanih. Contohnya, akar tumbuhan yang masuk ke dalam batuan serta tanih akan memudahkan proses larutan tanih dan juga koloid tanih yang mana ini akan memperdalamkan lagi profil tanih.

Menurut Jamaluddin Md Jahi dan Ismail Ahmad (1988), bahan induk adalah bahan–bahan dari mana berasalnya tanih. Bahan induk tanih ini berasal daripada batuan, tetapi bahan induk tanih organik berasal dari bahagian-bahagian tumbuh-tumbuhan atau haiwan (organisma) yang sedang mengalami proses penguraian. Kedua-dua jenis tanih ini mengandungi bahan induk organik dan mineral, tetapi lazimnya bahan mana yang lebih banyak terdapat dalam tanih tersebut akan dianggap sebagai bahan induk. Bahan induk memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tanih dan merupakan salah satu faktor pasif kerana iklim yang berlainan dan keadaan-keadaan biologikal menghasilkan tanih yang berlainan walaupun dari jenis bahan induk yang sama.

Pembentukan tanih melalui bahan induk terbentuk melalui proses luluhawa atau bahan tersebut dibawa dan dimendapkan secara insitu atau di kawasan setempat sahaja dan terbentuk akibat ketiadaan proses pedogenik seperti pembentukan pasir pantai, pemendapan glesier,diun pasir ang baru dan pasir sungai. Misalnya, di kawasan yang bercerun, hakisan tanih adalah kerap berlaku dan keadaan ini menyebabkan tanih yang terbentuk lebih menunjukkan ciri-ciri bahan induk berbanding tanih yang terbentuk akibat daripada proses pedogenik. Hal ini kerana, kekurangan masa bagi tanih tersebut untuk membentuk tanih baru selepas proses hakisan akan meyebabkan tanih yang terbentuk itu lebih menyerupai atau menyamai ciri-ciri bahan induknya. Sebagai contoh tanih matang daripada jenis tanih perang yang terbentuk daripada batu igneus dan tanih podzol yang terbentuk daripada batu igneus yang berasid iaitu tanih yang wujud akibat proses luluhawa dan pedogenik. Walaupun bahan induk tidak mempunyai tenaga yang mencukupi bagi proses pembentukan tanih, tetapi ia berupaya mempengaruhi proses-proses pembentukan tanih. Hal ini kerana, bahan induk bukan sahaja berupaya membekalkan bahan-bahan mineral tanih tetapi juga terdiri daripada 50 peratus isipadu tanih tersebut. Selain itu, bahan induk ini adalah penting untuk mengambarkan ciri-ciri penting tanih seperti warna, tekstur, stuktur dan reaksi (Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, 2002).

Topografi atau relief adalah antara faktor pembentukan tanih. Kepentingan topogafi sebagai satu faktor genetik tanih lebih ketara di kawasan kecil berdanding daripada kawasan yang luas. Boleh dikatakan bahawa pola-pola kasar tanih di seluruh dunia dipengaruhi oleh iklim sedangkan pola-pola tanih tempatan dipengaruhi oleh topografi. Hal ini dapat dilihat di kawasan bercerun (puncak, lereng gunung, kaki gunung atau kaki bukit). Misalnya, bagi kawasan yang bercerun curam tanih terhakis dengan kuat dan mempunyai sudut yang besar dan menjadikan kawasan puncak mempunyai tanih yang nipis manakala kawasan yang bercerun landai membentuk tanih yang tebal. Di kawasan bawah cerun, air yang melarut resap akan membawa bersama larutan bahan mineral ini dan menjadi kation dan anion di kawasan bawah cerun. Kawasan bawah cerun ini akan membentuk tanih yang kurang terlarut dan berada di bawah konsentrasi yang paling pekat ( Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, 2002).

Proses pembentukan tanih memerlukan masa untuk terbentuk dan difahamkan proses pembentukan tanih adalah perlahan, iaitu jangka masa yang paling pendek diambil untuk membentuk profil tanih adalah 20 tahun dan yang paling lama adalah 1000 tahun. Manakala menurut Jamaludin Md Jahi dan Ismail Ahmad (1988), ada anggaran yang pernah dilakukan yang menunjukkan 50 milimeter batuan boleh terluluhawa dalam masa 1000 tahun di cerun yang landai dan 500 milimeter regolith boleh dihasilkan dalam masa 20 000 tahun dan kadar luluhawa di kawasan tropika lembap mungkin lebih tinggi.

Kesimpulannya, tanih merupakan suatu sumber alam semulajadi yang amat berharga dan terhad sumbernya. Tanih juga dibentuk oleh beberapa foktor yang pada masa yang sama faktor ini boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu faktor aktif (yang terdiri daripada faktor iklim, suhu, kerpasan dan kelembapan) dan faktor pasif (iaitu yang terdiri daripada faktor bahan imduk, masa, dan relief atau topografi). Pembentukan tanih melalui tempoh masa yang agak lama, jadi oleh sebab itu kita perlulah menghargai dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya sumber yang kita ada ini agar kesuburannya dapat kita kekalkan (walaupun tidak secara asalnya) untuk kegunaan generasi masa hadapan


Thursday, February 18, 2010

Biar lambat, asal selamat

Hari Khamis, 11 Februari 2010, aku excited kerana dapat balik kampung, nak jumpa family aku. Pukul 9.25 malam, bas kita orang bertolak dari stesen bas KUO untuk menuju ke Kelantan. Pada mulanya, perjalanan kami dengan lancar. Alhamdulillah....., tapi hampir pukul 12.45 pagi, bas yang kami naiki seperti ada sesuatu yang tidak kena. Kawan disebelah aku memberitahu bas tersebut seperti bocor, tapi aku tertanya-tanya kenapa pemandu bas masih meneruskan juga pemanduannya itu. Aku pun buat-buat tak kisah walaupun tidak dapat meneruskan kembali lena ku kerana keadaan bas yang terhenjut-henjut. Semakin lama keadaan tersebut semakin kuat walaupun pemandu semakin memperlahankan pemanduannya itu. Penumpang yang lain sudah mula tertanya-tanya. Yalah kan, dengan keadaan bas yang tidak stabil ini, kenapa pemandu masih meneruskan juga pemanduannya itu. Mestilah semua orang risau.

Tepat pukul 1.10 pagi, kami semua diarahkan turun kerana berlaku kerosakkan pada tayar bas. Kami diarahkan menaiki bas yang lain untuk dibawa ke kawasan penempatan sementara sebelum menunggu bas tersebut dibaiki. Semasa turun aku ada melihat kerosakkan pada tayar tersebut apabila ada yang terdengar ura-ura yang bas tersebut mengalami kerosakkan teruk pada tayar, tayar bas tersebut bukannya bocor tetapi skrunya telah tertanggal. Daripada 4 skru, hanya 1 saja skru yang tinggal (aku terlupa nak ambil gambar tayar bas ketika itu). Ya Rabbi...... kenapalah pemandu bas tersebut tidak perasan tentang keadaan tersebut. Jikalaulah tiada orang awam yang menahan bas kami dan memaklumkan keadaan tayar bas kami yang hampir tercabut itu, entah apalah yang akan terjadi pada kami. Nauzubillah...... Harap-harap janganlah terjadi perkara-perkara yang tidak diingini.

Berbalik kepada perjalanan kami, masa yang diambil untuk ke penepatan sementara (Masjid Jamek Gerik, Hulu Perak) adalah 8 minit. Maka kami tibalah di situ dan berkampunglah di situ. Siap tidur lagi diperkarangan masjid tersebut dengan beralaskan lantai yang sejuk dan berselimutkan sehelai baju sejuk. Huhuhuhuhu.....macam pelarian lak aku tengok.
Selepas solat subuh, kami masih lagi menumpang di masjid tersebut, bantuan makanan tiba pada pukul 7 pagi. Hehehehe.....macam mangsa banjir pun ada. Nak buat macam mana dah nasib. Kami masih lagi menunggu bas untuk berpulang ke Kelantan. Harap-harap cepat-cepatlah bas tersebut dibaiki. Huhuhuhu......Semua dah tidak sabar hendak balik kampung ni..... Amin.

Perkarangan Masjid Jamek Daerah Gerik, Hulu Perak

Makanan telah tiba

Semasa di Gerik tu sempat jugalah kami merayau-rayau di sekitar kawasan tersebut. Tambah-tambah lagi, hari tu ada pasar malam. Bolehlah cari barang sikit-sikit. Hampir pukul 7.04 malam, kami masih lagi berada di Hotel Great Wall, Gerik (Perak) meunggu bas siap di baiki. Huhuhuhu.....berita gembira...tepat pukul 7.19 malam, kami menerima sms dan seketika kemudian pintu bilik hotel kami diketuk untuk dimaklumkan bahawa bas telah siap dibaiki dan kami akan bertolak pulang pada pukul 8 malam. Alhamdulillah........Syukran!!! Semasa dalam perjalanan pulang dari Gerik ke Jeli aku sempat melihat kemalangan yang berlaku, sebuah kereta terhumban ke dalam parit. Ish....kesian sungguh..... Pukul 1 pagi baru aku sampai di rumah. Oh..gembiranya setelah macam-macam yang berlaku, akhirnya aku sampai juga di rumah dengan selamat. Alhamdulillah....


Kaunter pendaftaran di Hotel Great Wall

Kepada para pemandu, sentiasalah beringat-ingat terhadap slogan-slogan yang dilaungkan oleh kerajaan seperti ”Biar lambat, asal selamat”, ”Berhati-hati di jalan raya, ingat orang yang tersayang”, ”Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya” dan banyak lagi. Jangan hanya kerana ingin mengejar masa agar cepat sampai ke destinasi yang dituju, nyawa penumpang, nyawa sendiri dan mungkin juga nyawa orang awam yang lain dipertaruhkan. Sedarlah!!! Nyawa bukanlah sesuatu yang boleh dimain-mainkan....!!!

Monday, February 8, 2010

Mendaki Gunung Ledang

Tanggal 29 Januari 2010, bermulalah perjalanan menuju ke kaki Gunung Ledang melalui Asahan (Melaka). Hampir pukul 8.00 malam, aku dan rakan-rakan seangkatan tiba di kaki Gunung Ledang. Sebelum itu kami berjalan hampir 30 minit untuk sampai ke kaki Gunung Ledang kerana jalan untuk sampai ke sana tidak dapat dimasuki oleh bas kami. Dengan disuluhi oleh cahaya bulan dan lampu suluh yang dibawa kami menyusuri jalan tersebut untuk ke sana. Perasaan yang terlalu teruja untuk mendaki gunung penuh ladenda itu membuatkan kami tidak terasa penatnya berjalan. Sesampai di sana, kami berehat seketika dan menjamah makanan yang telah disediakan oleh pihak pengurusan Gunung Ledang serta dibahagian mengikut kumpulan.

Hampir 80 orang peserta mengambil bahagian tidak termasuk 5 orang felo. Sesudah itu, kami berehat seketika sebelum dikejutkan pada pukul 1 pagi untuk menerima taklimat daripada pihak pengurusan dan pengarah projek. Pelbagai maklumat dan pantang larang disampaikan bagi membolehkan pendakian kami berjalan dengan lancarnya. Ada yang khusyuk mendengar, ada yang masih diulit perasaan mengantuk dan ada juga yang terangguk-angguk (angguk tanda faham atau angguk tanda tidur, wallahualam).

Pukul 5 pagi, aku dan kawan-kawan sekhemah telah bangun untuk bersiap. Selepas pembahagian tugas, makanan, peralatan dan barang yang akan dibawa, maka hampir pukul 9.00 pagi maka bermulalah perjalanan kami mendaki Gunung Ledang. Pada permulaah pendakian, kaki telah mula terasa kebas, itupun belum lagi sampai di check point pertama. Huh!! Hanya tuhan saja yang tahu. Malah, salah seorang Felo kami awal-awal lagi telah menarik diri. Mengikut ranjer kami, check point pertama dan kedua adalah yang paling mencabar sekali. Namun, dengan berbekalkan semangat yang masih bersisa dan sokongan daripada kawan-kawan, digagahi juga dan pendakian diteruskan. Bagi menghilangkan perasaan letih, pelbagai cerita lucu dikongsi bersama.

Semasa pendakian, pelbagai spesies tumbuhan dapat dilihat. Kami dilarang memetik tumbuhan di sana (petik tak boleh lah, tapi sentuh mungkin boleh kot...hehehehe) kerana ia adalah dilarang dan merupakan hak milik Taman Negara. Antaranya adalah paku-pakis, periuk kera, pokok balak (besar punya) dan tumbuh-tumbuhan lain yang belum pernah aku lihat. Airnya pun jernih dan bersih, siap boleh diminum tanpa dimasak lagi.

Tepat pukul 9 pagi pada 31 Januari 2010, kami mula bertolak turun dari campsite setelah siap mengemas dan membersihkan kawasan sekitarnya. Barang-barang yang dibawa semasa mendaki juga perlu sama kuantitinya semasa turun sama ada makanan, sampah, mahupun pakaian sekalipun. Kalau tidak, denda akan dikenakan. Ini perlu bagi menjaga kebersihan kawasan tersebut agar tidak tercemar dan terpelihara. Sesungguhnya pengalaman tersebut tidak dapat dilupakan, apatah lagi pendakian melalui Asahan (Melaka) betul-betul mencabar.

Keesokkannya, terasalah sakit-sakit dan sengal-sengal di seluruh badan. Tetapi sesungguhnya, kesakitan tersebut adalah berbaloi dan pengalaman yang diperolehi lebih bernilai berbanding dengan apa yang dirasai. Huhuhuhuhu..........!!!

Yang Baik Dijadikan Teladan Dan Yang Buruk Dijadikan Sempadan


Suatu peristiwa telah membuatkan saya terfikir, adakah orang yang belajar tentang alam benar-benar mempraktikkan ilmu yang dipelajarinya itu? Tulisan saya ini bukanlah untuk mengkritik sesiapa, tetapi sekadar meluahkan persoalan dan pengalaman yang berlaku di depan mata. Malah, ia sebenarnya berlaku dalam kehidupan kita sehari-harian. Cuma ia terpulang kepada diri kita sendiri sama ada kita sedar atau tidak.

Pada suatu hari, kami empat sekawan telah menyewa sebuah kereta untuk ke tempat perkelahan. Ketika berhenti di sebuah kedai makan (untuk bertanyakan arah), salah seorang daripada kawan saya (si A) turut keluar dan membuang sampah di tepi jalan, berhampiran kedai tersebut. Saya terfikir yang si A ni belajar tentang geografi, selalu mendapat keputusan yang baik dalam semua subjek major, tetapi kenapa ilmu tersebut tidak diaplikasikan dalam kehidupannya??

Masuk saja kereta, saya bertanya: “Kenapa ko buang sampah tu kat situ?” Maka jawab si A ni: “Biasalah, aku tak jumpa tong sampah. Lagipun ramai yang buang sampah kat situkan.” Itulah jawab si A. Jadi, segera terlintas dibenak saya: Perlukah kita meniru perbuatan yang sama dengan orang lain sedangkan kita tahu yang perbuatan itu adalah salah? Jadi apa gunanya pepatah Melayu yang berbunyi, “YANG BAIK DIJADIKAN TELADAN DAN YANG BURUK DIJADIKAN SEMPADAN”? kalau kita sendiri tidak mengikutinya. Emmm…..sama-sama kita fikirkan.

Perbualan ini tidak berhenti di situ sahaja. “Laa…takkan tak leh nak simpan kejap sampah tu. Bukannya banyak pun. Kereta ni muat lagi nak simpan sampah ko tu. Kata belajar geo, takkan tak leh nak practicekan kot? Segan aku dengan abang yang bagitau arah tadi, dia tengok jer ko buang sampah.” Sambung kawan ku yang seorang lagi. Nah, sekali lagi aku terfikir, Adakah kita melakukan sesuatu kerana malu dengan orang lain dan bukannya perbuatan itu kita lakukan atas DASAR KEIKHLASAN HATI kita sendiri? Tetapi alasan ini masih boleh lagi diterima kerana sekurang-kurangnya perasaan malu itu boleh mencegah kita daripada melakukan kesilapan sama ada sesama manusia, terhadap alam mahupun terhadap PENCIPTA kita. Lagipun tidak semua manusia sempurna dalam semua aspek dan sebagai rakan perlulah kita sentiasa nasihat-menasihati dengan cara yang baik antara rakan agar tidak mengguris perasaan mereka.