Monday, July 19, 2010

Pengenalan Biogeografi

Perkataan biogeografi mungkin agak asing bagi sesetengah orang. Namun, bidang ini merupakan salah satu bidang yang telah lama wujud pada prinsipnya tetapi kajian-kajian menerusi bidang biogeografi sebagai satu disiplin akademik yang tersendiri hanya mula berkembang di pertengahan abad ke 20. Perkembangan disiplin ini muncul berdasarkan minat beberapa pengkaji awal yang terlatih dalam disiplin lain di bidang sains terutamanya bidang ekologi, sains hayat, botani dan zoologi. Mereka ini berminat untuk memperkembangkan kajian mereka dalam bidang geografi.

Oleh kerana bidang biogeografi iaitu kombinasi dua perkataan biologi dan geografi muncul sebagai salah satu sub bidang yang terletak dalam bidang geografi fizikal. Bidang ini lebih mirip menjadi sub bidang geografi fizikal memandangkan pengkajiannya yang berteraskan ujikaji secara saintifik melalui penyelidikan-penyelidikannya di lapangan dan diperkukuhkan bukti-buktinya di makmal secara ujikaji saintifik.

Perkataan biogeografi boleh dipecahkan kepada tiga perkataan yang boleh membawa maksud yang tersendiri iaitu ‘bio’ bermaksud biologi atau sains hayat atau kajian mengenai benda-benda yang hidup. ‘Geo’ pula berasal dar perkataan Greek yang membawa maksud bumi. Manakala, perkataan ‘grafi’ dari perkataan ‘graphien’ atau ‘to wite’ yang membawa maksud ‘decoration’ atau menerangkan perwakilan di atas permukaan yang rata.

Berdasarkan definisi di atas, dalam istilah yang lebih luas, biogeografi adalah satu bidang sains yang memberikan penekanan terhadap fenomena-fenomena yang berlaku dalam biosfera (bumi keseluruhannya). Secara lebih spesefik lagi, biogeografi memberikan tumpuan kepada kajian-kajian mengenai tumbuh-tumbuhan (dalam perspektif geografi) dan kehidupan haiwan terutamanya dari segi sebarannya (distribution).

Friday, July 16, 2010

Sumber Hutan


Definisi

Hutan dari segi hurufiah merupakan satu komuniti pokok (besar/kecil), haiwan, kawasan yang luas, memerlukan cahaya matahari, udara, air dan tanih untuk pembiakan dan kematangan. Hutan diliputi oleh tumbuhan semulajadi/ asal yang terdapat di semua kawasan kecuali sedikit di kawasan sejuk dan kering. Pewujudan kawasan hutan dipengaruhi oleh iklim, jenis tanah, ketinggian, bentuk bumi, kebenuaan dan lokasi. Kebanyakkan perubahan hutan masa kini adalah disebabkan adanya aktiviti manusia.

KEPENTINGAN HUTAN KEPADA MANUSIA
• 1) membekalkan oksigen melalui proses fotosintesis
• 2) menyederhanakan suhu
• 3) menghalang tiupan angin – kurang hakisan/kurang bencana
• 4) membekalkan humus – baja tanah
• 5) habitat haiwan
• 6) kawasan rekreasi/pelancongan – ecotourism
• 7) sumber perubatan (tongkat ali,kacip fatimah)
• 8) sumber pendapatan negara – hasil balak, rotan
• 9) peluang pekerjaan (pembalak, renjer, pemburu)
• 10) membekalkan air dalam tanah

TABURAN TUMBUH-TUMBUHAN – KENAPA BERBEZA?
1) Faktor Abiotik
i) Cahaya
• Bahagian spektrum tenaga bahagan yang ternampak, bahang panjang gelombang berukuran 390 hingga 760 milimikron, hanya 48% drp. jumlah tenaga yang sampai ke bumi.
• Untuk proses fotosintesis – tenaga matahari; warna putih diserap oleh tumbuh-tumbuhan manakala warna hijau dan kuning tidak banyak digunakan.
• ∑ cahaya yang jatuh ke atas daun hijau hanya 20% dibalikkan semula, 20% dibahangkan sebagai haba, 49% proses sejatpeluhan dan 10% dipancar melalui daun – cahaya bauran.
• Semakin tinggi sesuatu kawasan, semakin mudah tumbuhan memperolehi cahaya. Kawasan tinggi lebih kurang 129,000 luks berbanding dengan kawasan aras laut – 107,000 luks.
ii) Kelembapan Udara
• Kelembapan udara- air yang wujud dalam atmosfera dalam bentuk gas/wap air (2% daripada isipadu atmosfera)
• Dipengaruhi oleh hujan, lamanya turun, ada yang sedia ada dan suhu.
• Tumbuhan tinggi memperolehi air dari air hujan manakala tumbuhan renek menyerap wap air yang terdapat di udara.
iii) Suhu
• Tumbuh-tumbuhan boleh hidup dalam suhu tertentu (suhu 0°C dan 50°C tumbuhan akan mati/ rosak.
Setiap tumbuhan boleh wujud dalam satu lingkungan suhu yang sesuai untuk aktiviti kimia dan untuk pertumbuhan. Lingkungan suhu tersebut dikenali sebagai suhu kardinal (suhu maksimum, suhu optimum dan suhu minimun.)
iv) Angin
• Penting di kaw. tanah pamah, pinggir pantai dan pergunungan tinggi.
• Fungsinya penting bagi untuk membantu proses perpeluhan tumbuhan, pembasahan dan pengeringan daun, penyebaran bijian, pendebungaan.
• Membantu kadar pertukaran wap air, gas dan haba.
• Kawasan tropika – angin kering menyebabkan pengeringan tunas, daun dan buah menjadi kuat.

2) Faktor Fisiografi
• Lebih tertumpu kepaada ciri2 permukaan bumi (altitude, cerun, struktur geologi, saliran, hakisan dan pemendakan kelodak)
• Topografi merupakan pengaruh utama terhadap saliran; saliran akan mempengaruhi jenis tumbuhan. (cth : paya bakau dan pokok kaktus, saliran sempurna – hutan hujan.

TABURAN JENIS HUTAN
1) Hutan Pokok Tirus
• Terdapat di iklim benua hawa sederhana; cth Taiga (Siberia), Kanada Tengah Utara, kawasan tanah tinggi Eropah dan Eurasia Utara.
• Biasanya terdapat pada kawasan beriklim hampir kutub dengan suhu purata 6°C.
• Pertumbuhan pokok pada musim bunga, sederhana padat dengan ketinggian lebih kurang 30m (100 kaki), batang pokok lurus, tinggi.
• Berbentuk kon, daun menirus ke bawah, berakar pendek dan sesuai pada kawasan yang bertanah podzoil yang nipis.
• Sesuai untuk aktiviti pembalakan, (menghasilkan kayu yang lembut; kertas, pulpa dan perabot)

2) Hutan Daun Luruh Hawa Sederhana
• Terletak di garis lintang tengah Hemisfera Utara, Eropah Barat, timur Amerika Utara, Tasmania, selatan Chile, dan di beberapa kawasan di New Zealand dan Britain.
• Pokok tinggi, berdaun lebar- pengaruh iklim- musin panas banyak daun, musim sejuk daun gugur, musim bunga daun tumbuh dengan cepat.
• Wujud tumbuhan liput bumi yang rapat- baracken, bluebell.
• Sesuai tumbuh pada tanah jenis perang kelabu yang banyak mengalami proses pempodzolan dan mengandungi byk humus.

3) Padang Rumput Savana
• Taburan- pedalaman tropika – Brazil, Campos, Lanos, timur Afrika dan utara Australia.
• Terhasil daripada iklim lembap-kering tropika (kemarau musim sejuk dan diikuti musim panas berhujan)
• Kawasan ini hijau pada musim hujan, perang pada musim kering.
• Rumput kawasan ini berstruktur kasar, berangkai manakala bagi kaw. yang agak lembap, mempunyai rumput yang panjang dan rapat2.
• Tahan kemarau cth; pokok baobab yang menyimpan air dalam batang berlendir, pokok akasia menyimpan air dalam akar.

Friday, April 23, 2010

Penggunaan Air Bawah Tanah Di Malaysia

Air bawah tanah berpotensi untuk digunakan dalam pelbagai sektor. Antaranya adalah sebagai sumber bekalan air bersih, kegunaan dalam sektor perindustrian dan pengairan kawasan pertanian. Di Malaysia, jumlah air bawah tanah adalah lebih daripada 90% daripada jumlah keseluruhan air tawar (air bersih) dan dianggarkan hanya 10% sahaja sumber air permukaan yang boleh digunakan sebagai air bersih.

Penggunaan Air Bawah Tanah Di Semenanjung Malaysia

Lebih kurang 60% sumber air bawah tanah dieksploitasi untuk kegunaan domestik, 35% untuk kegiatan industri dan 5% untuk kegiatan pertanian. Terdapat beberapa kawasan yang memanfaatkan sumber air bawah tanah untuk kegiatan domestik. Antaranya adalah di Kota Bharu (100,000 m³/hari), Kuala Terengganu (16,000 m³/hari), Arau di Perlis (6,000 m³/hari), Sg. Ular di Pahang (5,000 m³/hari), Rompin (2,000 m³/hari) dan beberapa kawasan di Pahang, Kedah dan Langkawi.

Bagi kegiatan industri, air bawah tanah digunakan untuk membersih atau membasuh bahan mentah, memproses bahan dan menyejukkan mesin atau jentera-jentera. Kebanyakkan kawasan perindustrian yang menggunakan sumber air bawah tanah dalam operasi mereka adalah terdapat di Kelang seperti di Shah Alam dan Bukit Raja. Manakala, dalam sektor pertanian pula, air bawah tanah kurang mendapat sambutan dan tidak digunakan dengan meluas di Semenanjung. Namun, di Rhu Tapai, Terengganu dan ladang di Pekan, Pahang ada menggunakan sunber air bawah tanah untuk menjalankan operasi mereka sama ada dalam proses membaja, mengairi tanaman dan sebagainya.

Penggunaan Air Bawah Tanah Di Sabah, Sarawak dan Labuan

Air bawah tanah telah digunakan atau dibangunkan sejak 13 tahun yang lalu di beberapa kawasan pinggir pantai di Sarawak, yang mana terdapat di dalam bahan alluvial seperti pasir, kerikil dan tanah liat. Di beberapa kawasan pesisiran dan pedalaman, air tanah telah disarikan dari kawasan-kawasan tersebut. Misalnya di Miri, air bawah tanah diabstrak melalui perigi dalam batu pasir untuk di bekalkan kepada orang awam. Di Sabah dan Labuan pula, air bawah tanah di perolehi daripada perigi yang digali di desa-desa.

Saturday, April 10, 2010

Imtihan Datang Lagi

Selepas berhempas-pulas selama 1 semester, maka tibalah waktu yang ditunggu-tunggu. Peperiksaan!!!
Selamat menghaungi peperiksaan kepada kawan-kawan yang bakal menempuhinya. Semoga tabah dan sabar dalam mengharungi cabaran ini.

Tuesday, March 23, 2010

Keikhlasan dalam Persahabatan

Salam persahabatan kepada rakan-rakan sekalian.KEIKHLASAN DALAM PERSAHABATAN??? masih wujudkah lagi dalam dunia yang penuh pancaroba ini??? Masih adakah lagi sahabat yang menghormati sahabatnya, sahabat yang setia dan yang sanggup berkorban untuk kebahagian sahabatnya? Ya…memang ada, tetapi jumlah tersebut hanyalah sedikit. Benar-benar sedikit. Bagai mencari sebutir mutiara di dalam sebuah lautan hitam yang luas ataupun ibarat mencari sebutir berlian di dalam struktur tanih dan batuan di bawah permukaan bumi. Begitulah tingginya nilai sebuah persahabatan dan betapa sukarnya untuk mencari seorang sahabat yang benar-benar ikhlas terhadap sahabatnya.

Yang ada hari ini adalah hanya berada disisi kita ketika kita senang, lebih banyak membuat kita mengalirkan air mata daripada membuatkan kita bahagia, banyak mengkhianati daripada menyayangi kita dan sebagainya. Jadi, adakah ini yang digelar sahabat? Bukan…semestinya bukan. Mereka hanyalah sebagai kawan sampingan, bukan sahabat, bukan teman sejati mahupun teman akrab kerana andai ini yang menjadi asas sebuah persabahatan, maka hancurlah nilai kesetiaan dalam sebuah persahabatan.

ANDAI INI SAHABATKU

Andai ini sahabat yang dicari, sudah tentu aku menyesalinya,

Andai ini sahabat yang disayangi, sudah tentu air mata dihatiku,

Andai ini sabahat yang dikasihi, sudah tentu derita di sisiku,

Andai ini sahabat yang diagungkan, sudah pasti hilang nilai penghormatan dalam diriku,

Andai ini sahabat yang dimiliki,hapus sudah kesetiaan ku padanya

Andai ini SAHABATKU, maka sudah tentu aku TIDAK menginginkannya.

Kepada teman-teman yang mempunyai sahabat, hargailah pengorbanan mereka, sayangilah mereka, dengarlah luahan mereka dan cubalah untuk setia terhadap sahabat anda.

Friday, March 19, 2010

Jenis Batuan di Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber alam sama ada sumber dari lautan, hutan, mahupun di bawah permukaan bumi. Sumber di bawah permukaan bumi yang dimaksudkan ini adalah sumber batuan. Di Malaysia, terdapat beberapa jenis batuan jenis batuan, antaranya adalah:


Batuan Rhyolite yang terdapat di Lanchang, Pahang


Batuan Granit di Tampin, Negeri Sembilan

Antara batuan yang keras dan banyak digunakan dalam pembinaan dan untuk membuat jalan.


Batuan Syenite yang terdapat di Kerisek, Pahang


Batuan Serpentinite di Raub, Pahang


Batuan Pegmatit di Bukit Mor, Johor


Batuan Shale di Batu Arang, Selangor


Batuan Slate di Sg. Aring, Kelantan


Batuan Phyllite di Lebuhraya Timur Barat, Perak


Batuan Kuartza di Sg. Lui, Selangor

Antara batuan yang keras dan bersifat jernih.


Batuan Marmar di Langkawi (Kedah) dan juga di Perak

Banyak digunakan untuk membuat jubin, alat perhiasan rumah (pasu, pinggang mangkuk dan sebagainya)



Hargailah Hari Ini

Syukurlah dengan apa yang kita perolehi pada hari ini dan sentiasalah menghargai apa yang ada di sekeliling kita kerana esok belum tentu kita akan melihat apatah lagi memperolehi seperti apa yang kita perolehi pada hari ini. Walaupun kadangkala hari yang kita lalui itu penuh dengan cabaran dan dugaan, namun ia sebenarnya amat bererti kepada kita. Sekalipun ia amat pedih untuk dikenangkan atau menyakitkan untuk dirasai tetapi ia mematangkan kita untuk terus berjuang. Berjuang ke jalan Allah s.w.t..

Inilah sebenarnya apa yang akan kita lalui di kemudian hari, malah mungkin lebih teruk daripada yang telah kita lalui hari ini atau sebelum-sebelumnya. Jadi, walau apapun yang berlaku pada kita pada hari ini anggaplah ia sebagai cubaan kecil dan sebagai motivasi kepada kita untuk menghadapi dugaan-dugaan yang mendatang.

Jadi, terimalah seadanya hidup ini. Hargailah kaum keluarga, teman-teman dan kenalan-kenalan yang sentiasa bersama-sama kita walaupun ketika senang apatah lagi ketika susah. Redhalah apa yang telah menimpa kita kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

‘…tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui’. (Al-Baqarah; 216).

Amin…