Friday, April 23, 2010

Penggunaan Air Bawah Tanah Di Malaysia

Air bawah tanah berpotensi untuk digunakan dalam pelbagai sektor. Antaranya adalah sebagai sumber bekalan air bersih, kegunaan dalam sektor perindustrian dan pengairan kawasan pertanian. Di Malaysia, jumlah air bawah tanah adalah lebih daripada 90% daripada jumlah keseluruhan air tawar (air bersih) dan dianggarkan hanya 10% sahaja sumber air permukaan yang boleh digunakan sebagai air bersih.

Penggunaan Air Bawah Tanah Di Semenanjung Malaysia

Lebih kurang 60% sumber air bawah tanah dieksploitasi untuk kegunaan domestik, 35% untuk kegiatan industri dan 5% untuk kegiatan pertanian. Terdapat beberapa kawasan yang memanfaatkan sumber air bawah tanah untuk kegiatan domestik. Antaranya adalah di Kota Bharu (100,000 m³/hari), Kuala Terengganu (16,000 m³/hari), Arau di Perlis (6,000 m³/hari), Sg. Ular di Pahang (5,000 m³/hari), Rompin (2,000 m³/hari) dan beberapa kawasan di Pahang, Kedah dan Langkawi.

Bagi kegiatan industri, air bawah tanah digunakan untuk membersih atau membasuh bahan mentah, memproses bahan dan menyejukkan mesin atau jentera-jentera. Kebanyakkan kawasan perindustrian yang menggunakan sumber air bawah tanah dalam operasi mereka adalah terdapat di Kelang seperti di Shah Alam dan Bukit Raja. Manakala, dalam sektor pertanian pula, air bawah tanah kurang mendapat sambutan dan tidak digunakan dengan meluas di Semenanjung. Namun, di Rhu Tapai, Terengganu dan ladang di Pekan, Pahang ada menggunakan sunber air bawah tanah untuk menjalankan operasi mereka sama ada dalam proses membaja, mengairi tanaman dan sebagainya.

Penggunaan Air Bawah Tanah Di Sabah, Sarawak dan Labuan

Air bawah tanah telah digunakan atau dibangunkan sejak 13 tahun yang lalu di beberapa kawasan pinggir pantai di Sarawak, yang mana terdapat di dalam bahan alluvial seperti pasir, kerikil dan tanah liat. Di beberapa kawasan pesisiran dan pedalaman, air tanah telah disarikan dari kawasan-kawasan tersebut. Misalnya di Miri, air bawah tanah diabstrak melalui perigi dalam batu pasir untuk di bekalkan kepada orang awam. Di Sabah dan Labuan pula, air bawah tanah di perolehi daripada perigi yang digali di desa-desa.

No comments:

Post a Comment