Friday, March 19, 2010

Hargailah Hari Ini

Syukurlah dengan apa yang kita perolehi pada hari ini dan sentiasalah menghargai apa yang ada di sekeliling kita kerana esok belum tentu kita akan melihat apatah lagi memperolehi seperti apa yang kita perolehi pada hari ini. Walaupun kadangkala hari yang kita lalui itu penuh dengan cabaran dan dugaan, namun ia sebenarnya amat bererti kepada kita. Sekalipun ia amat pedih untuk dikenangkan atau menyakitkan untuk dirasai tetapi ia mematangkan kita untuk terus berjuang. Berjuang ke jalan Allah s.w.t..

Inilah sebenarnya apa yang akan kita lalui di kemudian hari, malah mungkin lebih teruk daripada yang telah kita lalui hari ini atau sebelum-sebelumnya. Jadi, walau apapun yang berlaku pada kita pada hari ini anggaplah ia sebagai cubaan kecil dan sebagai motivasi kepada kita untuk menghadapi dugaan-dugaan yang mendatang.

Jadi, terimalah seadanya hidup ini. Hargailah kaum keluarga, teman-teman dan kenalan-kenalan yang sentiasa bersama-sama kita walaupun ketika senang apatah lagi ketika susah. Redhalah apa yang telah menimpa kita kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

‘…tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui’. (Al-Baqarah; 216).

Amin…

No comments:

Post a Comment