Friday, February 26, 2010

Kemerosotan Kualiti Alam: Kesan pada Kesihatan Awam

Hakikatnya alam sekitar amat penting kepada manusia. Alam sekitar bukan sekadar membekalkan manusia dengan keperluan asasi kehidupan seperti udara, air dan makanan tetapi lebih penting evolusi dan keterusan sistem hidup manusia itu sendiri bergantung kepada alam sekitar. Malah, memiliki sumber alam yang banyak di sesebuah negara dapat menggambarkan taraf pembangunan negara tersebut. Hal ini kerana pembangunan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada ketersediaadanya sumber alam sekitar. Banyak tamadun manusia pupus akibat kegagalan mendapatkan bekalan sumber alam sekitar secara berterusan dan dalam situasi tertentu perubahan ke atas alam sekitar boleh menjejaskan keupayaan manusia untuk membangunkan alam sekitar.

Pertambahan penduduk dunia yang semakin bertambah menyebabkan kita memerlukan bekalan sumber alam yang banyak bagi menampung jumlah tersebut. Namun, sejak 15 tahun kebelakangan ini, telah wujud beberapa masalah berkaitan dengan alam sekitar di kebanyakkan tempat di dunia. Keadaan ini menyebabkan wujudnya dampak terhadap alam sekitar dan kehidupan manusia khususnya kerana sebarang perubahan kepada alam sekitar akan menyebabkan ancaman kepada manusia dan secara langsung mempengaruhi kelangsungan hidup manusia itu sendiri.


Guna tanah untuk menampung pertambahan manusia yang semakin meningkat

Kemerosotan kualiti sumber alam boleh dijelaskan seperti kekurangan atau kehilangan kualiti dan kuantiti sumber alam yang boleh digunapakai di sesebuah kawasan atau negara di dunia ini. Kemerosotan sumber alam disebabkan oleh pelbagai keadaan seperti kemerosotan kualiti dan kuantiti sumber air, penyahhutanan, pembalakkan, pencemaran udara dan banyak lagi. Manakala, kemerosotan kualiti alam sekitar akan memberi kesan terhadap manusia khususnya kesihatan manusia. Kemerosotan kualiti sumber alam mengakibatkan ketidakamanan dalam sesebuah kawasan atau negara kerana sumber alam bukan sahaja penting untuk keguanaan domestik sahaja tetapi sebagai sumber makanan dan minuman utama untuk manusia, haiwan dan sumber alam lain untuk meneruskan kehidupan. Tanpa sumber alam semua hidupan di atas dunia ini akan mati.

Kemerosotan kualiti air oleh bahan-bahan kimia seperti nitrat, sodium, DDT dan sebagainya boleh mengundang masalah terhadap kesihatan manusia. Misalnya, sodium boleh memberi implikasi kepada masalah jantung, nitrat boleh menyebabkan masalah darah, manakala merkuri dan plumbum boleh mengakibatkan masalah saraf. DDT (racun serangga) adalah bertoksik kepada manusia dan boleh mengubah kromosom anak dalam kandungan. Polychlorinated biphenyls (PCB) pula boleh merosakkan hati dan sistem saraf, gangguan kulit dan keadaan tidak normal yang bahaya. Disenteri, salmonela, cryptosporidium dan hepatitis adalah antara penyakit yang berjangkit menerusi keracunan air minuman dan air untuk mandi.

Penggunaan baja dalam aktiviti pertanian

Pembuangan sisa toksid ke dalam sungai atau sumber air yang lain akan menyebabkan sumber air tersebut beracun kerana sesetengah sisa toksid akan bertindak dengan air lalu mengeluarkan gas ammonia yang memberi kesan buruk kepada manusia khususnya apabila terdedah terlalu lama dengan manusia, ia akan menyebabkan orang tersebut mengalami pedih-pedih mata, pening, muntah-muntah, sakit tekak, masalah pernafasan dan ia juga boleh menyebabkan kematian jika terdedah terlalu lama dengan kuantiti yang terlalu banyak. Manakala, pengambilan sumber makanan dan air minuman yang terdedah kepada sisa logam berat juga boleh mengancam kesihatan manusia.

Selain itu, kemerosotan sumber alam seperti air turut menyebabkan sumber tersebut menjadi mahal. Jadi bagi golongan penduduk yang berpendapatan rendah, mereka mungkin tidak dapat membiayai kos pertambahan untuk mendapatkan sumber air bersih tersebut. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan air seperti menggunakan air hujan yang belum tentu bersih atau tidak untuk digunakan (akibat pencemaran udara) atau air sungai yang sememangnya belum dirawat. Keadaan ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit terhadap segelintir penduduk tersebut seperti taun, cerek-berek, deman, dan yang paling teruk mungkin boleh mendatangkan keracunan sehingga boleh membawa maut.

Udara yang mengandungi bahan-bahan pencemar akan mengganggu kesihatan manusia terutamanya sistem pernafasan manusia. Gas-gas seperti karbon monoksida akan meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah, melambatkan tindak balas manusia dan menyebabkan mengantuk, penyakit lelah dan mengurangkan fungsi paru-paru. Bahan pencemar yang terkandung dalam udara dalam kuantiti yang banyak seperti nitrogen oksida boleh menyebabkan edema (penghimpunan tidak normal bendalir dalam tisu badan) dan pendarahan pulmonary, gas ozon pula boleh menimbulkan kerengsaan menyebabkan inflamasi paru-paru dan keupayaan bergerak. Habuk, asap yang beracun, kabus, wap atau bahan-bahan lain juga menghalang penglihatan mata dan menjejaskan mata manusia. Penipisan lapisan ozon akan mengundang lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi dan boleh mengakibatkan kanser kulit dan kerosakan genetik bayi apabila terdedah kepada cahaya matahari yang lama.

Aktiviti pembalakan memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia khususnya. Hal ini berlaku kerana apabila pokok-pokok ditebang dan hutan dimusnahkan, banyak sumber makanan seperti buah-buahan hutan, binatang liar dan sebagainya akan turut dimusnahkan. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kehilangan sumber makanan khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman yang selama ini lebih bergantung kepada sumber makanan daripada hutan.

Hidupan di bumi ini sama ada di atas muka bumi, dasar laut ataupun dalam tanah memerlukan alam sekitar untuk terus hidup. Alam sekitar bukan sahaja membekalkan sumber untuk pembangunan dan perkembangan sistem hidup manusia, tetapi sebagai unsur penting dan perlu dipelihara sekiranya manusia ingin kekal hidup di bumi ini. Keselamatan awam khususnya keselamatan manusia bergantung kepada kesejahteraan alam sekitar dan perhubungan ini akan terjejas sekiranya kualiti dan kuantiti alam sekitar terjejas. Dalam hal ini banyak konflik telah, sedang dan akan tercetus akibat persaingan ke atas sumber-sumber alam sekitar, dan yang menjadi mangsanya adalah hidupan itu sendiri amnya manusia.

Kualiti alam sekitar perlu dipertahankan dan satu pendekatan pengurusan yang boleh mengimbangkan kehendak pembangunan dan kepentingan memelihara alam sekitar amat diperlukan. Pepatah Melayu “sediakan payung sebelum hujan” adalah tepat sekali untuk mengambarkankan apa yang perlu di lakukan oleh masyarakat global bagi menangani ancaman daripada perubahan yang sedang berlaku kepada alam sekitar. Kesedaran manusia untuk melindungai alam sekitar sangat penting. Lebih-lebih lagi, kesedaran ini akan menimbulkan dalam diri manusia sifat cintakan alam dan kefahaman tentang ‘kerapuhan’ sistem semulajadi jika diganggu oleh manusia dengan sesuka hati. Manusia perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk melindungi dan memelihara keadaan semulajadi alam sekitar.


Alam sekitar khazanah yang perlu dipelihara

No comments:

Post a Comment