Saturday, February 20, 2010

Tanih: Konsep dan Faktor Pembentukkannya

Hakikatnya, tanih dianggap penting oleh manusia sejak permulaan tamadun lagi. Pembinaan petempatan, kegiatan ekonomi, penternakan dan sebagainya adalah antara interaksi manusia dengan tanih. Tanih juga boleh mengambarkan taraf hidup manusia di sesuatu kawasan berdasarkan beberapa aspek seperti kualiti tanih yang dimiliki, jenis dan kualiti tanaman. Selain itu, tanih adalah sumber semulajadi yang penting bagi pertumbuhan pokok-pokok dan tanaman.

Kini, tanih masih lagi dianggap suatu sumber semulajadi yang penting dan kuantitinya yang terhad berbanding pertambahan penduduk dunia yang semakin meningkat menyebabkan tanih menjadi tidak subur dan mudah terdedah kepada agen-agen pengangkutan (seperti air dan angin). Hal ini kerana lapisan tanih adalah mudah berkeadaan tidak stabil apabila lapisan tanah diterokai atau lapisan tanih itu sendiri diterokai.

Tanih merupakan elemen bahan pepejal yang paling penting di bumi, sama ada di daratan ataupun di permukaan bumi. Tanih terbentuk melalui beberapa proses sama ada melalui proses-proses fizikal, kimia ataupun biologi dan proses ini akan bertindakbalas dengan bahan induk (batuan) membentuk pelbagai jenis tanih yang berbeza dalam banyak aspek daripada bahan induknya (kebanyakan tanih terhasil daripada bahan mineral sekunder yang baru yang tidak diperolehi daripada bahan induk tetapi diperolehi daripada proses-proses luluhawa dan juga pedogenesis).

Umumnya, tanih merupakan permukaan bumi yang peroi (tidak merangkumi batuan pejal di bawahnya) dan terdapat empat komponen utama didalamnya,iaitu mineral, bahan organik, air dan liang udara yang boleh berubah (contohnya, apabila hujan turun, air hujan akan meresap masuk ke dalam tanah melalui liang-liang udara yang terdapat di dalam tanih dan menyebabkan kebanyakkan liang udara dipenuhi air). Manakala bahan organik yang terdapat didalam tanih ini pula terbahagi kepada dua, iaitu organisma yang masih hidup dan yang telah mati. Mengikut Scott Brennan dan Jay Withgott (2005), tanih mempunyai lebih daripada 5% bahan organik. 1 gram tanih boleh mengandungi 100 juta bekteria, 500 000 kulat, 100 000 rumpair, 50 000 protozoa. Tanih juga turut mengandungi cacing tanah, serangga, hama, lentibang atau mentibang, kuman serta lubang korekan haiwan mamalia, amfibia dan reptilia.

Terdapat pelbagai definisi mengenai tanih. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), tanih adalah lapisan tanah yang subur dibawah lapisan tanah di atas sekali. Keadaan ini menjelaskan tanah adalah lapisan pertama dan tanih adalah lapisan kedua, iaitu selepas tanah. Ahli sains Rusia, iaitu V.V.Dukuchaev menjelaskan bahawa tanih sebagai lapisan permukaan yang berhampiran dengan bahan induk dan telah mengalami banyak perubahan sama ada di bawah pengaruh beberapa faktor semulajadi seperti air, udara, serta pelbagai spesies orgamisma-orgamisma hidup atau mati. Perubahan-perubahan ini menggambarkan komposisi struktur dan warna yang dihasilkan oleh proses-proses luluhawa.

Mengikut Jamaluddin Md Jahi dan Ismail Ahmad (1988), tanih ialah bahan mineral di permukaan bumi yang telah mengalami perubahan dan dipengaruhi oleh faktor-faktor genetik dan faktor-faktor persekitaran seperti bahan induk, iklim (termasuk kesan lembapan dan suhu ), makrohidupan dan mikrohidupan serta topografi, kesemuanya bertindak beberapa lama dan menghasilkan apa yang disebut tanih, iaitu satu hasil yang berbeza dari bahan asalnya dari segi sifat dan ciri-ciri fizikal, kimia dan biologi. Definisi lain adalah tanih dianggap sebagai jasad yang berotonomi (tidak bergantung dengan elemen lain) yang terdiri dari bahan-bahan mineral, bahan organik serta komponen-komponen nutrien yang terbentuk daripada pelbagai reaksi terhadap batuan asal dengan faktor-faktor persekitaran seperti iklim, topografi, kehidupan tumbuh-tumbuhan dan hidupan (Mohemad Suhaily yusri Che Ngah, 2002).


Faktor pembentukan tanih diketogorikan kepada lima, iaitu bahan induk, iklim, organisma, topografi (relief) dan masa. Pendapat ini pertama kali dikemukakan oleh Dokuchaev (iaitu seorang ahli pengkaji pedologi Rusia) dan sejak itu pendapat yang dikemukakan itu telah digunapakai dan diubahsuaikan oleh beberapa sarjana. Faktor yang dikemukakan oleh Dukucheav di bahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu faktor aktif dan faktor pasif. Faktor aktif terdiri daripada iklim, kerpasan, suhu dan biosfera. Manakala, faktor pasif pula merujuk kepada bahan induk, relief (topografi) dan masa.

Menurut Jamaluddin Md Jahi dan Ismail Ahmad (1988) iklim merupakan antara faktor penting dalam pembentukan tanih dan iklim yang mempengaruhi pembentukan tanih adalah iklim tanih bukan iklim `udara’. Iklim secara secara keseluruhannya mempengaruhi iklim tanih. Tindakbalas tanih dan atmosfera terhadap tumbuh-tumbuhan akan menghasilkan iklim miko. Atmosfera bertindak terhadap permukaan bumi untuk menghasilkan iklim permukaan bumi secara tidak langsung iklim mempengaruhi pembentukan tanih dengan menentukan jenis tumbuhan dan bilangan tumbuhan yang tumbuh, imbangan air, dan kadar pereputan bahan organik.

Unsur utama yang mendatangkan kesan terhadap ciri-ciri juzuk tanih adalah kelembapan dan sumber yang utama bagi air tanih ialah kerpasan (namun tidak semua air turun dalam bentuk kepasan bergabung membentuk tanih kerana sesetengah air akan hilang dalam beberapa peringkat proses). Air dalam tanih penting untuk proses kimia dan biologi kerana banyak bahan kimia lebih aktif dalam suhu yang tinggi dan hujan yang lebat. Misalnya, hubungan di antara suhu dengan bahan kimia dapat digambarkan melalui kaedah penguraian atau pereputan bahan organik, iaitu apabila suhu meningkat maka kadar pengurian atau pereputan juga turut meningkat. Contohnya, kawasan tropika adalah kawasan yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan dan ini menyebabkan kadar pereputan bahan organik oleh bekteria dan mikroorganisma lain berlaku secara maksimum manakala di kawasan yang bersuhu sejuk, kadar pereputan adalah kurang dan ini menyebabkan berlakunya pembentukan bahan organik (tanih) yang perlahan. Kesan iklim ini dapat dilihat pada pola-pola tanih di seluruh dunia. Sebagai contohnya di kawasan tropika lembap, tanih feralitik adalah tanih yang unggul di tempat yang bersaliran baik, manakala tanih pedzol pula penting di kawasan hutan tirus iaitu di kawasan iklim subartik lembap. Bagi kawasan gersang atau separa gersang tanih yang terhasil ialah tanih gurun kelabu atau merah dan di kawasan subtropika lembap pula tanih menghasilkan tanih feruginus yaang terlarutlesap atau tanih podzolik merah-kuning (Jamaluddin Md Jahi dan Ismail Ahmad, 1988).

Faktor orgamisma atau lebih tepat lagi dengan faktor biotik adalah interaksi tumbuh-tumbuhan atau haiwan (organisma) dengan faktor-faktor lain seperti bahan induk untuk membentuk tanih. Tumbuh-tumbuhan berperanan secara langsung dalam pembentukan tanih terutamanya dari segi penambahan bahan-bahan organik. Sumber bagi bahan organik tanih adalah datangnya daripada pokok di permukaan seperti daripada daun-daun yang gugur, bahagian akar tumbuhan yang telah mati, tunas, dahan-dahan kecil, buah-buahan dan biji-biji yang gugur. Kesemua bahan-bahan tersebut akan diurai oleh bekteria dan mikroorganisma lain untuk membentuk tanih. Contohnya, haiwan yang telah matiakan diurai oleh bekteria untuk membentuk tanih. Proses yang melibatkan penguraian bahan organik ini dan membentuk tanih dipanggil penghumusan (iaitu satu proses yang melibatkan aktiviti-aktiviti komponen fauna (makroorganisma) di dalam tanih ).

Pada peringkat awal pnguraian, bakteria dan kulat akan mengurai tisu-tisu di atas tanih dan permukaan tanih. Selepas itu, makroorganisma seperti cacing dan anai-anai akan mengurai bahan-bahan organik ke dalam tanih melalui aktiviti mengorek dan mencampurkan horizon-horizon tanih dengan bahan-bahan lain. Tumbuhan-tumbuhan yang telah diuraikan ini membekalkan karbon dioksida, nitrogen, sulfur dan bahan-bahan organik yang penting kepada proses-proses pembentukan tanih seperti asid organik penting dalam proses larutresap.

Akar tumbuhan (yang masih hidup) juga turut memainkan peranan penting dalam poses pembentukan tanih. Contohnya, akar tumbuhan yang masuk ke dalam batuan serta tanih akan memudahkan proses larutan tanih dan juga koloid tanih yang mana ini akan memperdalamkan lagi profil tanih.

Menurut Jamaluddin Md Jahi dan Ismail Ahmad (1988), bahan induk adalah bahan–bahan dari mana berasalnya tanih. Bahan induk tanih ini berasal daripada batuan, tetapi bahan induk tanih organik berasal dari bahagian-bahagian tumbuh-tumbuhan atau haiwan (organisma) yang sedang mengalami proses penguraian. Kedua-dua jenis tanih ini mengandungi bahan induk organik dan mineral, tetapi lazimnya bahan mana yang lebih banyak terdapat dalam tanih tersebut akan dianggap sebagai bahan induk. Bahan induk memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tanih dan merupakan salah satu faktor pasif kerana iklim yang berlainan dan keadaan-keadaan biologikal menghasilkan tanih yang berlainan walaupun dari jenis bahan induk yang sama.

Pembentukan tanih melalui bahan induk terbentuk melalui proses luluhawa atau bahan tersebut dibawa dan dimendapkan secara insitu atau di kawasan setempat sahaja dan terbentuk akibat ketiadaan proses pedogenik seperti pembentukan pasir pantai, pemendapan glesier,diun pasir ang baru dan pasir sungai. Misalnya, di kawasan yang bercerun, hakisan tanih adalah kerap berlaku dan keadaan ini menyebabkan tanih yang terbentuk lebih menunjukkan ciri-ciri bahan induk berbanding tanih yang terbentuk akibat daripada proses pedogenik. Hal ini kerana, kekurangan masa bagi tanih tersebut untuk membentuk tanih baru selepas proses hakisan akan meyebabkan tanih yang terbentuk itu lebih menyerupai atau menyamai ciri-ciri bahan induknya. Sebagai contoh tanih matang daripada jenis tanih perang yang terbentuk daripada batu igneus dan tanih podzol yang terbentuk daripada batu igneus yang berasid iaitu tanih yang wujud akibat proses luluhawa dan pedogenik. Walaupun bahan induk tidak mempunyai tenaga yang mencukupi bagi proses pembentukan tanih, tetapi ia berupaya mempengaruhi proses-proses pembentukan tanih. Hal ini kerana, bahan induk bukan sahaja berupaya membekalkan bahan-bahan mineral tanih tetapi juga terdiri daripada 50 peratus isipadu tanih tersebut. Selain itu, bahan induk ini adalah penting untuk mengambarkan ciri-ciri penting tanih seperti warna, tekstur, stuktur dan reaksi (Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, 2002).

Topografi atau relief adalah antara faktor pembentukan tanih. Kepentingan topogafi sebagai satu faktor genetik tanih lebih ketara di kawasan kecil berdanding daripada kawasan yang luas. Boleh dikatakan bahawa pola-pola kasar tanih di seluruh dunia dipengaruhi oleh iklim sedangkan pola-pola tanih tempatan dipengaruhi oleh topografi. Hal ini dapat dilihat di kawasan bercerun (puncak, lereng gunung, kaki gunung atau kaki bukit). Misalnya, bagi kawasan yang bercerun curam tanih terhakis dengan kuat dan mempunyai sudut yang besar dan menjadikan kawasan puncak mempunyai tanih yang nipis manakala kawasan yang bercerun landai membentuk tanih yang tebal. Di kawasan bawah cerun, air yang melarut resap akan membawa bersama larutan bahan mineral ini dan menjadi kation dan anion di kawasan bawah cerun. Kawasan bawah cerun ini akan membentuk tanih yang kurang terlarut dan berada di bawah konsentrasi yang paling pekat ( Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, 2002).

Proses pembentukan tanih memerlukan masa untuk terbentuk dan difahamkan proses pembentukan tanih adalah perlahan, iaitu jangka masa yang paling pendek diambil untuk membentuk profil tanih adalah 20 tahun dan yang paling lama adalah 1000 tahun. Manakala menurut Jamaludin Md Jahi dan Ismail Ahmad (1988), ada anggaran yang pernah dilakukan yang menunjukkan 50 milimeter batuan boleh terluluhawa dalam masa 1000 tahun di cerun yang landai dan 500 milimeter regolith boleh dihasilkan dalam masa 20 000 tahun dan kadar luluhawa di kawasan tropika lembap mungkin lebih tinggi.

Kesimpulannya, tanih merupakan suatu sumber alam semulajadi yang amat berharga dan terhad sumbernya. Tanih juga dibentuk oleh beberapa foktor yang pada masa yang sama faktor ini boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu faktor aktif (yang terdiri daripada faktor iklim, suhu, kerpasan dan kelembapan) dan faktor pasif (iaitu yang terdiri daripada faktor bahan imduk, masa, dan relief atau topografi). Pembentukan tanih melalui tempoh masa yang agak lama, jadi oleh sebab itu kita perlulah menghargai dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya sumber yang kita ada ini agar kesuburannya dapat kita kekalkan (walaupun tidak secara asalnya) untuk kegunaan generasi masa hadapan


1 comment:

  1. The Most Successful Sites for Crypto, Casino & Poker - Goyang
    Goyang Casino & Poker is one of https://deccasino.com/review/merit-casino/ the most famous 사설 토토 사이트 and goyangfc well known crypto gambling sites, 1xbet 먹튀 founded www.jtmhub.com in 2012. They are popular because of their great

    ReplyDelete