Thursday, February 25, 2010

Air Bawah Tanah: Potensi dan Cabarannya

Air bawah tanah merupakan air yang terdapat dalam tanah dalam ke dalam 1 meter dan seterusnya. Namun, ada juga sesetengah pakar yang berpendapat bahawa air bawah tanah wujud dalam ke dalaman lebih kurang lebih daripada 20 atau 30 kaki dari permukaan bumi dan seterusnya. Semakin dalam kawasan tersebut, semakin banyak air tanah yang terdapat dalam tanah tersebut. Air bawah tanah umumnya terdapat dalam liang-liang pori atau celahan tanah atau batuan (yang retak atau ada sesetengah batuan yang boleh menyerap air dengan banyak) yang tersimpan dan mengalir dalam medium kawasan tersebut (sama ada tanah, pasir atau batuan). Air bawah tanah yang mengalir dikenali sebagai akuifer (aquifer) dan ia wujud dalam pelbagai saiz.

Air bawah tanah adalah sumber yang masih belum diterokai sepenuhnya khususnya di Malaysia kerana negara ini masih memiliki banyak lagi sumber air permukaan untuk menampung keperluan masyarakatnya. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini banyak pihak telah menyedari tentang kepentingan air bawah tanah ini sebagai salah satu daripada sumber alam yang mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung keperluan manusia yang semakin bertambah ini. Misalnya, ada di sesetengah kawasan seperti di Kelantan, air bawah tanah banyak digunakan untuk kegiatan domestik dan pertanian secara kecil-kecilan. Beberapa negara-negara lain seperti Bangladesh, Korea, China, Dubai dan Denmark turut menggunakan air bawah tanah bagi memenuhi keperluan masyarakat mereka.

Pada masa yang sama, sumber air ini juga turut mengalami nasib yang sama seperti sumber-sumber air permukaan yang lain sama ada air sungai, air laut, atau tasik yang semakin tercemar akibat pembangunan yang tidak terancang. Aktiviti perbandaran, perindustrian, pertanian yang semakin pesat atau aktiviti guna tanah yang melampau adalah antara faktor yang dikenalpasti mampu mencemarkan sumber air bawah tanah. Misalnya, aktiviti pembajaan dalam pertanian boleh menyebabkan sumber air bawah tanah mengandungi kandungan sulfat yang tinggi, kandungan klorida pula disumbangkan oleh sisa buangan perindustrian atau salur buangan (kumbahan) dan pelbagai lagi aktiviti yang mampu mencemarkan air bawah tanah ini sama ada melalui kaedah penyusutan dan larut resap serta pemindahan terus.

Oleh itu, kita sebagai masyarakat yang prihatin terhadap penjagaan alam sekitar perlulah sedar tentang situasi yang berlaku ketika ini. Potensi air bawah tanah sebagai sumber air bersih amatlah tinggi dan perlu dipelihara agar tidak tercemar seperti beberapa sumber air permukaan yang lain. Malah, pembangunan dan penggunaannya perlulah dikawal agar sumber tersebut tidak dihabiskan dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keperluan untuk generasi akan datang. Kesimpulannya, sama-samalah kita memelihara sumber alam yang amat berharga ini agar boleh dimanfaatkan untuk kegunaan generasi kita pada masa hadapan dan generasi seterusnya.

No comments:

Post a Comment