Monday, July 26, 2010

Agama & Alam Sekitar






Menurut Aristotle, tumbuhan untuk haiwan dan haiwan untuk manusia. Namun berlaku eksploitasi oleh manusia secara berlebihan. Krisis alam sekitar yang berlaku boleh dilihat berkaitan dengan agama. Krisis berlaku kerana haluan dan bentuk teknologi, pembangunan, ekonomi dan cara hidup manusia telah jauh menyimpang daripada matlamat kehidupan yang sebenar.

Manusia mempunyai kepercayaan masing-masing dan agama adalah antara pendorong utama yang memainkan peranan penting dalam membentuk perilaku seseorang dan amalan masyarakatnya. Buktinya faktor agama adalah relevan dan punyai pengaruh dalam menangani krisis alam sekitar. Selain itu, agama juga berperanan menangani krisis berdasarkan beberapa pendekatan : 1)pembinaan pandangan semesta yang harmoni, 2) pembentukan budaya dan gaya hidup yang sihat, 3) penggubalan sistem nilai yang berkesan.

Tidak kira apa jua agama, semuanya mengajak ke arah mewujudkan hubungan yang harmonis di antara manusia dan alam sekitar. Agama Buddha misalnya, sebahagian daripada matlamat utama konsep ‘dharma’ adalah hubungan yang harmonis dengan alam sekitar. Berdasarkan agama Kristian pula, tokoh yang paling terkenal sikapnya mengenai alam sekitar ialah St. Francis of Asissi yang dikatakan mempunyai akhlak yang baik. Paderi Benedictine -terkenal sikap prihatinnya yang mementingkan pemeliharaan alam sekitar dari segi amalan dan falsafah hidupnya.

Dalam sejarah Islam, arahan awal Nabi Muhammad s.a.w selepas baginda menawan Mekah ialah supaya pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan tidak dimusnahkan dan amalan ini dijadikan prinsip dalam Islam. Dalam Al-Quran, Allah (swt) menjelaskan dan memberi peringatan kepada manusia untuk menjaga alam semulajadi iaitu dalam surah An-Naba, ayat 6-7 dan surah Luqman, ayat 10.

Perlu ada sifat hubungan yang baik antara manusia dan alam. Pemikir-pemikir alam sekitar Islam telah menggariskan beberapa prinsip untuk orang Islam dan sejagat, iaitu sifat tauhid yakni mengakui keesaan terhadap Allah. Islam menganjurkan penggunaan yang bijaksana terhadap alam sekitar dan menggunakannya dengan baik dan bertoleransi.

Bagi agama Hindu, bumi bukanlah sesuatu yang mutlak kerana ada dunia yang kekal dan ada konsep penjelmaan semula. Setiap perbuatan akan dibalas baik dan sebaliknya. Konsep Karma menunjukkan tentang sikap manusia pada masa dulu. Bagi masyarakat Hindu, walaupun manusia mempunyai nilai hidup yang lebih tinggi dari ciptaan lain, mereka tidak boleh tamak sebab setiap ciptaan tersebut mempunyai jiwanya sendiri. Berdasarkan kepercayaan Buddha tersebut, manusia diminta untuk menghormati dan berinteraksi dengan alam sekitar secara harmoni. Antara prinsip kepercayaan Buddha, ialah jangan mencemarkan dunia serta memusnahkan haiwan dan tumbuh-tumbuhan kerana semasa penjelmaan semula kelak kita akan membunuh saudara-mara dan ibu bapa kita.

Itulah antara beberapa yang telah diterapkan dalam ajaran agama masing-masing agar kita sebagai manusia, iaitu salah satu makhluk yang menghuni di bumi ini agar sentiasa menghargai dan menjaga alam sekitar daripada segala kemusnahan.

No comments:

Post a Comment