Monday, July 19, 2010

Pengenalan Biogeografi

Perkataan biogeografi mungkin agak asing bagi sesetengah orang. Namun, bidang ini merupakan salah satu bidang yang telah lama wujud pada prinsipnya tetapi kajian-kajian menerusi bidang biogeografi sebagai satu disiplin akademik yang tersendiri hanya mula berkembang di pertengahan abad ke 20. Perkembangan disiplin ini muncul berdasarkan minat beberapa pengkaji awal yang terlatih dalam disiplin lain di bidang sains terutamanya bidang ekologi, sains hayat, botani dan zoologi. Mereka ini berminat untuk memperkembangkan kajian mereka dalam bidang geografi.

Oleh kerana bidang biogeografi iaitu kombinasi dua perkataan biologi dan geografi muncul sebagai salah satu sub bidang yang terletak dalam bidang geografi fizikal. Bidang ini lebih mirip menjadi sub bidang geografi fizikal memandangkan pengkajiannya yang berteraskan ujikaji secara saintifik melalui penyelidikan-penyelidikannya di lapangan dan diperkukuhkan bukti-buktinya di makmal secara ujikaji saintifik.

Perkataan biogeografi boleh dipecahkan kepada tiga perkataan yang boleh membawa maksud yang tersendiri iaitu ‘bio’ bermaksud biologi atau sains hayat atau kajian mengenai benda-benda yang hidup. ‘Geo’ pula berasal dar perkataan Greek yang membawa maksud bumi. Manakala, perkataan ‘grafi’ dari perkataan ‘graphien’ atau ‘to wite’ yang membawa maksud ‘decoration’ atau menerangkan perwakilan di atas permukaan yang rata.

Berdasarkan definisi di atas, dalam istilah yang lebih luas, biogeografi adalah satu bidang sains yang memberikan penekanan terhadap fenomena-fenomena yang berlaku dalam biosfera (bumi keseluruhannya). Secara lebih spesefik lagi, biogeografi memberikan tumpuan kepada kajian-kajian mengenai tumbuh-tumbuhan (dalam perspektif geografi) dan kehidupan haiwan terutamanya dari segi sebarannya (distribution).

1 comment: