Monday, July 19, 2010

Biogeografi Menurut Pandangan Pakar

Terdapat banyak takrifan mengenai bidang biogeografi dalam kalangan para pengkaji. Antara pengkaji yang memberikan pandangan mengenainya ialah Wooldrdge dan East (1969). Mereka mengatakan bidang biogeografi sebagai salah satu cabang yang termasuk dalam disiplin geografi. Mereka berpendapat bahawa kenyataan mengenai tumbuh-tumbuhan dan sebaran haiwan serta kewujudan kedua-dua komuniti ini, iaitu tumbuh-tumbuhan dan haiwan adalah merupakan satu fakta geografi. Pada anggapan mereka, kedua-dua komuniti ini telah membezakan pentakrifan permukaan bumi yang dikaji oleh disiplin geografi.

Wooldridge dan East juga menyarankan bahawa bidang biogeografi ini selain daripada memberikan tumpuan kepada aspek geografi fizikal, ia juga mestilah meliputi bidang geografi manusia. Kenyataan ini dibuat berdasarkan bahawa skop biogeografi tidak mempunyai had-had pengkajian. Sesetengah pengkaji hanya menumpukan pengkajian terhadap tumbuh-tumbuhan dan juga geografi haiwan. Manakala pengkaji lain memperluaskan pengkajian mereka dan meliputi bidang pengkajian tanih di samping beberapa aspek geografi manusia.

Bagi Pierre Dansereau (1957), pengertian biogeografi adalah agak lebih sempit di mana beliau menyarankan bidang biogeografi sebagai kajian tentang asal-usul hidupan organik, sebarannya, adaptasi dan juga hubungan di antara tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Manakala, Margaret Anderson dalam bukunya ‘Geography of Living Things’, beliau menyatakan bahawa bidang biogeografi sebagai kajian tentang hubungan biologikal di antara manusia yang dianggapnya sebagai salah satu haiwan dengan keseluruhan persekitaran fizikalnya. Beliau menekankan tentang kepentingan pengaruh biologi terhadap manusia, di mana dan bagaimana mereka berinteraksi untuk hidup. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa manusia tidak boleh ditinggalkan dalam pengkajian biogeografi kerana mereka adalah agen yang paling signifikan di dalam sesuatu situasi.

Selain itu, Edwards (1964) pula berpendapat, kajian biogeografi mestilah meliputi pengetahuan tentang proses-proses pedogenik (tanah-tanih), jenis-jenis tanih dan keadaan cuaca kerana tumbuh-tumbuhan tidak boleh dikaji berasingan daripada tanih di mana ia tumbuh. Begitu juga dengan kepentingan manusia yang merubah tanih dalam pelbagai aktiviti yang mereka jalankan. Dalam biogeografi, kajian tanih juga boleh dilakukan seperti kajian mengenai bentuk guna tanah (landforms). Di samping itu, kita juga boleh mengkaji mengenai pembentukan bahan-bahan organik di dalam formasi tanah.

Menurut Vale dan Parker (1980) pula, mereka menyarankan beberapa aspek perlu dikaji dalam bidang biogeografi seperti kesan manusia ke atas tumbuh-tumbuhan dan kesan aktiviti manusia ke atas haiwan liar.

No comments:

Post a Comment